Kecemerlangan Stephen Hawking

Hawking mengambil alih tanggungjawab Einstein dan menyelesaikan banyak daripada paradoks-paradoks kerelatifan melalui pembinaan teori tentang kewujudan objek-objek yang mempunyai jisim yang terlalu tinggi dan ruang sifar dengan graviti yang terlalu kuat sehingga semua cahaya diserap dan tidak dapat dilihat. Teori itu kini telah diperhalus supaya dapat secocok dengan mekanik kuantum dan perkembangan-perkembangan am dalam bidang fizik.

Selain daripada kerja akademiknya, Hawking mempercayai bahawa setiap orang biasa harus memahami konsep-konsep itu dan beliau menulis sebuah siri buku sains yang popular. Buku pertamanya, "Sejarah Ringkas Masa" ("A Brief History of Time") diterbitkan pada 1 April 1988, dan dipadankan untuk filem dokumentari pada tahun 1991. Filem itu menonjolkan Hawking, keluarganya serta kawan-kawan, termasuk ahli-ahli sains yang utama. Tanpa dijangka, buku itu menjadi buku terlaris, dan kemudian diikuti oleh "Alam Semesta Seringkas-ringkasnya" ("The Universe in a Nutshell") (2001). Kedua-dua buku itu masih amat popular di seluruh dunia. "Lohong-lohong Hitam dan Alam-alam Semesta Bayi" ialah sebuah koleksi karangannya yang juga popular. Beliau kini sedang menulis sebuah buku yang baru, "Sejarah Lebih Ringkas Mengenai Masa" ("A Briefer History of Time") (2005), yang mengemaskinikan karya-karyanya yang awal, serta bertujuan untuk memanfaatkan lebih banyak orang.

Hawking juga dikenali untuk kebolehan berjenaka pintarnya; beliau amat masyhur untuk kenyataan berikut yang kerap dibuatnya: "Sewaktu aku mendengar kucing Schroedinger, aku mencapai senapangku." Kenyataan ini ialah parafrasa sengaja yang penuh ironi untuk frasa: "Sewaktu aku mendengar perkataan kebudayaan... aku melepaskan kunci picu Browningku !", daripada drama Schlageter (Babak 1, Adegan 1) oleh dramatis Jerman dan Penyair Diraja Nazi, Hanns Johst. Kebolehan berjenaka pintarnya telah menghibur orang ramai yang bukan pakar, serta membantu mereka memahami soalan-soalan yang rumit. Sewaktu diminta dalam rancangan temu bual British, Richard dan Judy, pada Oktober 2005 untuk menerangkan kenyataan tegasnya bahawa soalan "Apakah yang terjadi sebelum Letupan Besar?" adalah tidak bermakna, beliau membandingkan soalan itu dengan "Apakah yang terletak di utara Kutub Utara?"

Hawking ialah seorang penyokong aktif bagi pelbagai perjuangan. Beliau menonjolkan diri dalam siaran politik untuk Parti Buruh di United Kingdom, dan amat menyokong badan amal kanak-kanak, Desa-desa Kanak-kanak SOS United Kingdom ("SOS Children's Villages UK").